20140210

Buku & Kulitnya Serta Nelayan & Pak Menteri


Bila kita melihat seorang menteri diiring menuju ke sebuah program yang beliau perlu rasmikan, dengan baju berjenama dan kot mahalnya, kita terus menyiku kawan sebelah, menyuarakan; betapa kita mencemburui kehidupannya yang serba mewah dan bergaya, pengawal peribadi di kanan dan kiri. Melayanglah fikiran kita pada bayangan andai kita berada dalam posisi yang berhormat tadi.

Di sebuah pantai, tikamana awan terbakar jingga di hujung langit, sekumpulan nelayan dengan setapak sedegamnya menunda teraju ke darat, menambatnya pada pohon kelapa yang condong merendah diri kepada samudera. Keringat bertumpahan, tangan dan kaki lenguh menolak melawan pasir. Setelah itu, mereka saling bersalam peluk, meraikan kejayaan hasil tangkapan hari tu, biarpun hanya seekor ikan.

Berilah senario apapun, kita terlalu bingkas menghakimi. Istilahnya, prima facie. Dengan sekali kilas, kita mahir mentafsir taraf hidup, kesejahteraan bahkan kebahagiaan seseorang. Kalau saja ia mewah, terus kita hapus kira kemungkinan dia sedang sengsara. Tatkala terlihat nelayan tadi memikul pukat, terus dilihat “kais pagi makan pagi”. Alahailah! Kalau berkais-kais itu nikmat, bukankah lebih baik?

Kemudian, apabila kita bersiap untuk ke kuliah, kita ternampak pantulan diri-sendiri pada cermin bilik. Tidak pula kita menilai lelaki yang kita pandang itu apa bahagia hidupnya, aman rumahtangganya, soleh-solehah anak-anaknya, mahupun langsai hutangnya. Kerana kita sedar apa di dalam diri kita yang sedang bergalauan, ataupun tenteram duduk tidak bersuara. Kita bodoh untuk menipu diri-sendiri.

Biarpun sambil mengenakan busana nian, kalau hari itu salah-seorang sahabat rapat kita baru sahaja pergi menghadap Tuhan, kita tetap tidak akan tersenyum. Begitu rawaknya penampilan terhadap ukuran kebahagiaan, sehinggakan kami berpendapat, andai tidak untuk menutup badan dan menghangatkan, kami tidak tahulah apa keperluan berpakaian. Samalah halnya dengan berharta.

Sifat sedemikian adalah keadaan diri manusia yang alami. Kita menilai seseorang supaya boleh dibuat perbandingan dengan diri-sendiri. Kita mahukan kedudukan pasti dalam masyarakat. Orang putih sebut, ‘social conformity’. Dengan begitu, kita dihormati, diiktiraf, disayangi, pintu rezeki terjamin dan sebagainyalah. Orang-orang jauhari tahu mengawal sifat ini untuk tidak memijak kebahagiaan mereka.

Terkadang kita terlalu terikut-ikut dengan rasa begini, mahu se-piawai dengan semua orang, sampai terlupa untuk mengambil kira keadaan dirinya. Mungkin kayanya, kaya ibu bapanya saja, atau miskinnya, miskin keluarga. Itu cuma situasi semasa. Masa dan peluang akan bergulir. Mana tahu besar nanti jadi menteri, datang ke suatu majlis yang beliau perlu rasmikan, dengan senyuman bahagia?

No comments:

Post a Comment