20131201

Konservatisme: Internet Sebagai Suatu Rekatan Sosial?


Kalau dulu, surat-menyurat adalah wahana penyambung antara manusia. Tempoh hantaran sampai mengambil masa berminggu-minggu. Menunggu balasan kadang-kadang sampai berbulan, itupun kalau surat sampai atau tidak hilang dalam proses saling menyurat. Kemudian telefon bimbit datang, meledaklah zaman elektronik. Ketika ini internet masih tabu, anti-konvensional. Sekarang internetlah wahana utama manusia, bahkan menjadi hak asasi manusia dalam Konvensyen Geneva 2012.

Revolusi Arab pada 2011-2012 berlanjutan ke revolusi mujahidin di Syria hingga tahun ini telah dipacu oleh sokongan golongan internet atau netizen. Bantuan Taufan Haiyan juga diraih melalui cara yang sama. Segala macam isu kemanusiaan dan moraliti dibahaskan dalam internet, hal-hal debat di parlimen turut di-internet-kan. Manifesto politikal, kegiatan konsumerisme, penyebaran ideologi, perkongsian idea dan usaha-usaha dakwah adalah antara aktiviti manusia yang berlaku secara maya.

Pendirian Lapuk?

Persoalan kebaikan dan keburukan internet kepada manusia barangkali - selepas politik ideal, creationism-evolutionism - adalah perdebatan paling hangat yang masih berterusan. Untuk membuat suatu jadual dengan dua kolum "kebaikan" dan "keburukan" internet adalah usaha sia-sia, kerana tidak akan ada titik henti untuk kedua-dua dimensi tersebut. Dalam hal ini, berlaku suatu pertembungan konservatisme (anti-internet) melawan modernisme (pro-internet) yang sengit.

R. G. Collingwood menyebutkan dalam The Idea of History, apabila suatu tantanan idea baharu digagaskan, akan sentiasa berlaku pertembungan dua kutub (konservatisme-modernisme), dengan kedua-dua menggelarkan suatu sama lain sebagai "mundur", dengan merujuk "mundur" itu sebagai mendatangkan keburukan kepada dunia. Dalam hal ini, mereka yang melihat internet sebagai entiti negatif adalah ironis sekali, apabila melihat internet sebagai suatu kemunduran.

Secara ringkasnya, hujah belah konservatif difahami sebagai bertunjangkan kepada kepercayaan kepada perhubungan manusiawi yang autentik. Golongan moden percaya bahawa internet berjaya merekatkan manusia, sedangkan golongan berlawanan menafikan rekatan sosial ini berjaya mengikat manusia dengan perhubungan sejati. Kata mereka, memang benar internet meningkatkan jaringan komunikasi, akan tetapi mafsadah yang bangsa manusia perlu hadapi, menghapus kira nilai tambah itu.

Secara tidak langsung dalam pertandingan ini, kita melihat kuantiti melawan kualiti. Bilangan kenalan melawan kedalaman perkenalan. Kalau dahulu pengutusan surat mengambil masa penelitian untuk ditulis, dan destinasi ke kurang daripada seratus orang - dibandingkan dengan kita kini, puratanya punya seribu kawan maya - memberikan makna yang lebih besar. Bayangkan, kamu di tengah hutan, kemudian datang seorang posmen menyerahkan kepadamu sepucuk surat, pasti bahagia rasanya!

Hujah nombor dua adalah internet menjarakkan manusia menurut strata sosiobudaya. Hanya 34.3% populasi dunia mendapat sambungan internet, kebanyakannya negara dunia ketiga. Kalau benar pandangan golongan moden internet memudahkan kehidupan manusia, maka bukankah ia suatu ketidakadilan kepada mereka yang tidak mendapat sambungan internet. Yang berupaya meloncat jauh ke depan, yang belum pun terpenuhi hak yang lebih fundamental semakin tertinggal di belakang.

Perpindahan kemewahan dunia kepada yang lebih abstrak, khususnya internet seperti memerah limau ke atas luka. Jika hal ini berlaku (dan ia berlaku dengan pesat melalui konsumerisme maya), maka yang miskin akan lebih terperosok mundur. Ujaran internet mempermudah sebarang aktiviti bersifat bisnes dan ekonomikal melalui sistem atas talian pula tidaklah relevan dengan aspek pelestarian sosioekonomi dan sosiobudaya, kerana diingatkan semula keadilan sosial adalah dasar hak manusia.

Satu juluran hujah perhubungan autentik boleh diletakkan begini: meskipun internet meningkatkan salah faham, internet jugalah pencetus konfrontasi yang memudaratkan. Video wartawan disembelih pihak Al-Qaeda, orang-orang Syria terkena lecuran bom fosforus, ledakan merebak coup d`etat yang bermula dari Tunisia sebagai respon kezaliman Ben Ali menyebabkan pergolakan yang menumpahkan banyak darah tersebar. Ya, ia serlah kebenaran. Tapi juga jadikan kebenaran dalil keganasan.

Kerisauan terbesar barangkali adalah pengiktirafan internet sebagai hak asasi manusia telah mencetuskan dilema mendekati paradoks, iaitu dengan penyebaran informasi tanpa batas menyebabkan hak privasi seseorang itu sendiri tersekat. Menurut alhasil konvensyen baru-baru ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap negeri memberikan akses internet kepada warganya, sedangkan berbuat demikian akan menyebabkan terhakisnya batas antara masyarakat dan individu.

Yang menyebabkan situasi lebih teruk adalah apabila pencerobohan hak privasi ini berlaku pada peringkat antarabangsa. Amerika telah menjalankan aktiviti pengintipan internetnya (mentang-mentanglah kuasa internet di tangan mereka). Angela Merkel dan Dilma Roussef sudah naik minyak. Indonesia pula mulai agresif menentang perbuatan khianat persahabatan Australia apabila melakukan jenayah serupa. Di Malaysia, Singapura sedang berdepan tohmahan yang sama.

Secara ringkasnya, golongan konservatif berdiri pada tiga tonggak perjuangan, di samping beberapa tonggak minor iaitu kemurnian perhubungan sosial, kesaksamaan strata sosial dan hak privasi sosial. Apakah kedekatan sosial yang didambakan golongan moden andai ianya lebih merosak berbanding membaiki, memalsu berbanding menulinkan? Dari sini, dengan hujah-hujah ini, golongan konservatif berjaya membuktikan kes dan pendirian mereka.

Melainkan belah modernis boleh menerangkan mekanisme yang mampu mengekalkan kemurnian perhubungan melalui internet, menjelaskan bagaimana jurang strata sosial boleh dirapatkan melalui internet (ingat, golongan moden percaya internet boleh merekat dengan baik manusia) serta membentangkan secara komprehensif kepada kita bagaimana hak asasi privasi manusia boleh dikekalkan sambil internet terus berkembang, keunggulan konservatisme tidak tercabar.

Konklusi Peribadi

Alang-alang membincangkan ini, saya ingin turut mengemukakan pandangan saya: neokonvensionalisme. Pada saya, sebagaimana hieroglif dan piktogram terganti dengan huruf, pahatan pada batu tersesar oleh pengenalan sistem surat, wahana perhubungan manusia sedang mengalami suatu perubahan yang ia memang selalu alami secara historikal. Internet = konvensional baharu (neokonvensionalisme). Fitrah dinamik masyarakat tak berlawanan dengan konsep neokonvensional ini.

Bezanya, terdapat unsur keduniaan dan materialisme yang wujud dalam perubahan ini, menjadikan kuantiti atau skop berkadar songsang dengan nilai. Kalau disemak semula, nilai kemanusiaan masih dapat dikekalkan. Segala macam revolusi dan resolusi yang disenaraikan di atas membuktikan hal ni. Yang lebih mengagumkan, internet menjadi pentas penambahan nilai bagi golongan netizen (warga internet) yang menolak materialisme, baik dari Timur mahupun dari Barat.

Dalam aspek ini, konservatisme perlu menerima alegori Pemandu & Keretanya yang mencadangkan "kemalangan kereta digantungkan sepenuhnya pada pemanduan si pemandu, dan bukan keadaan kereta". Lalu ia harus dengan penuh integriti, kalau ia benar-benar memperjuangkan nilai dan perhubungan autentik yang bermanfaat, sudi berjabat tangan dengan warga netizen yang bersifat hijau. Seperkara lagi, golongan konservatif perlu menerima hakikat mereka adalah katak bawah tempurung yang berlapar tanpa rukhsah di bawah tangkupan mangkuk kaca! R. G. Collingwood pasti mencerca.




Rujukan/bacaan lanjut:

1. Wicker, Stephen B. & Santoso, Stephanie M. (2013). Access to internet is a human right. Communications of the ACM, Jilid 56 No. 6, halaman 43-46 10.1145/2461256.2461271. Dibaca pada 2 Disember 2013 melalui URL: http://cacm.acm.org/magazines/2013/6/164596-access-to-the-internet-is-a-human-right/fulltext.
2. Collingwood, Robin G. (1946). The Idea of History. Oxford : Oxford University Press. ISBN 10: 0192853066
3. Spielmann, Peter James (2013). UN Advances Internet Privacy Resolution. Dilayari melalui URL: http://abcnews.go.com/US/wireStory/advances-internet-privacy-rights-21017539
4. Tiada nama pengarang (2012). Internet Usage Statistics: The Internet Big Picture. Dilayari [kemas kini entri] pada 2 Disember 2013 melalui URL: http://www.internetworldstats.com/stats.htm

No comments:

Post a Comment