20131126

Agama: Definisi Operasi


Selain daripada bersikap, bernafsu, berakal dan berjasad, manusia juga mempunyai fitrah beragama. Untuk menerangkan 'agama' itu sendiri apa, barangkali memerlukan pos yang baharu, maka saya mempermudahkan pentafsirannya kepada dua sudut pandang berbeza, yakni dari segi Islam dan Barat. Islam saya merujuk Muhammad Abdullah Darraz dan Yusuf Qardhawi, manakala Barat saya merujuk kepada Philip A. Pecorino, H. H. Penner dan Paul Tillich, atau lain-lain yang dirasakan bermanfaat.

Menurut Muhammad Abdullah Darraz dalam bukunya al-Din, agama adalah kepercayaan akan suatu Kuasa Tertinggi (atau kuasa-kuasa) yang mempunyai iradat dan kudratNya sendiri. Kuasa Lebih Agung ini memiliki pemerintahan dan pemeliharaan mutlak ke atas manusia. Dalam Madkhali Ma`rifatul Islam, Yusuf Qardhawi menjelaskan agama sebagai suatu skim ilahi yang menggalakkan mereka yang berakal sempurna untuk membuat pilihan-pilihan berkenaan hidup di dunia dan akhirat.

H. H. Penner secara ringkasnya menjelaskan agama sebagai suatu sistem komunikasi yang terdiri daripada entiti-entiti ghaib dan berhubung terus dengan suatu corak sikap yang khusus (ibadah), manakala Paul Tillich, dalam Dynamics of Faith mengujar, agama adalah keprihatinan secara mutlak manusia. Akhir sekali, Paul Escorino menerangkan agama sebagai suatu metode penilaian paling komprehensif dan intensif yang dialami manusia. Julian Huxley: "It's a sense of sacred."

Secara umumnya, agama adalah sikap rohani manusia terhadap dirinya dan alam semesta yang meyakini suatu kuasa Maha Tinggi. Dalam perspektif ini, sebahagian weltanschauung ateistik (deisme, ateisme religius) juga boleh dirujuk sebagai agama. Yang membezakan antara agama di dunia adalah definisi, sikap dan ciri-ciri maujud ghaib yang mereka yakini, ibadah-ibadah dan pandang sarwa komprehensif masing-masing terhadap seluruh kewujudan.

Keperluan manusia terhadap agama bukan sekadar suatu premis yang manusia sungguh-sungguh kehendaki. Beragama adalah suatu fitrah yang sedia ada dalam fakulti manusiawi. Keperluannya adalah esensi manusia, yang tanpanya dan jika tidak dipenuhi, akan mencacatkan penyempurnaan maksud kemanusiaan itu sendiri. Bahkan Voltaire, seorang kritikus agama yang terkenal dengan Mahometnya mengatakan, "Jikalau tiadapun Tuhan, saya akan menciptanya", melihat kepada keperluan bertuhan.

Untuk sesuatu agama beroperasi dan terus wujud, sekumpulan manusia perlu melaksanakan suatu aktiviti spiritual yakni kepatuhan, ketundukan dan ketaatan terhadap segenap suruhan Kuasa Maha Agung yang mereka percayai tadi yang terjelma kepada amalan fizikal. Sesetengah agama mempunyai manusia shafawi seperti Pesuruh yang diutuskan Tuhan untuk memimpin atau mencontohkan tindakan spiritual dan amalan fizikal ini, agar manusia sentiasa berada pada jalan yang benar.

Adapun, pengecualian perlu dilakukan terhadap agama ateisme religius. Mereka mempercayai Tuhan khusus dan tidak mempunyai amalan-amalan berupa ibadah yang tertentu. Bagi mereka, agama itu cukup sekadar kesedaran akan wujudnya Penyebab Yang Satu, atau First Cause yang berkesedaran dan berkuasa mentadbir alam semesta. Agama ini wujud seawal Aristotle kepada Rene Descartes sehinggalah P. B. Shelley dan Ronald Dworkin. Ia masih dan semakin popular.






Rujukan:

1. Yusuf Qardhawi (2010). Madkhali Ma`rifatul Islam. Petaling Jaya: Islamic Book Trust.
2. Dworkin, Ronald (2013). Religion Without God. Dilayari pada 26 November 2013 melalui URL: http://www.nybooks.com/articles/archives/2013/apr/04/religion-without-god/?pagination=false
3. Pecorino A., Philip (2000). What Is Religion? . Dilayari pada 26 November 2013 melalui URL: http://www.qcc.cuny.edu/socialSciences/ppecorino/INTRO_TEXT/Chapter%203%20Religion/What_is_religion.htm
4. _________ (2011). Philosophy of Religion. Dilayari pada 26 November 2013 melalui URL: http://en.wikibooks.org/wiki/Philosophy_of_Religion/What_is_religion%3F

No comments:

Post a Comment