20131126

Komunisme: Politik Tidak Berjiwa


Salah-satu pegangan utama golongan komunis seperti Hegel dan Karl Marx adalah mereka mengamalkan 'dialectical materialism'. Menurut mereka, di luar sfera realiti, tidak ada kebenaran. Sama ada 'ada' atau 'tiada' melalui realiti. Mereka menolak gnostisisme (baca: alam ruh, ghaib). Hal ini sangat melucukan, kerana mereka yang menolak wujudnya semangat sebagai pendorong perjuangan manusia, mengasaskan suatu ideologi yang rupanya bersifat kesemangatan.

Tatkala komunisme/sosialisme menolak habis-habis ruhiyyah, mereka tidak pernah - sepanjang sejarah kewujudannya - berupaya membuktikan bahawa tidak ada intervensi spiritual sepanjang revolusi yang pernah berlaku di dunia. Bahkan mereka berhadapan dengan cabaran maha besar mengabsahkan perubahan-perubahan besar dunia berlaku hanya kerana keperluan ekonomi seperti yang mereka gagaskan.

Ideologi Marxisme adalah suatu idea kelam-kabut, tatkala dunia sedang ribut mengalami gelombang peperangan. Mereka yang tertindas di bawah pemerintahan kapitalisme, kolonialisme, imperialisme dan feudalisme melampau melihat ideologi tidak berjiwa ini sebagai suatu alternatif yang lebih baik (sedangkan akhirnya, ia lebih menderitakan). Komunisme hanya mendapat nasib baik berada pada zaman yang kebetulan dahagakan pembaharuan.

Sebagai pengingat, komunisme menekankan keadilan mutlak pembahagian "harta Tuhan" kepada seluruh rakyat. Pada pendapat mereka, semua - buruh, bangsawan, menteri - berhak mendapat bahagian dalam masyarakat yang sama rata. Sebab itu wujud kolektivisme dalam pemikiran karnal ini. Ia tidak mengiktiraf usaha mereka yang lebih rajin, memanjakan yang malas, yang mana, dilihat lebih tidak adil.

Dalam pada itu, Islam memberikan alternatif yang jauh lebih baik, bermaruah dan berjiwa. Islam menghukum mengumpul harta sebagai suatu keharusan manusia, haknya dan fitrahnya. Namun, ia memberikan pula manusia tanggungjawab sosial melalui zakat, jizyah, kharaj dan sedeqah yang dipandang memuliakan. Dalam pada itu, ia mengajar umatnya membenci kemalasan serta kemiskinan. Dari sini saja, cukup untuk menunjukkan kehebatan Islam mendahului komunisme.

Di samping itu, Islam mengajarkan sesuatu yang jauh lebih berharga dari sepikul gandum mahupun segelen air; cinta dan kasih-sayang sesama manusia. Dalam menghuraikan hadith "...tidaklah seseorang itu beriman melainkan dia mencintai saudaranya", Imam Nawawi r.a menukilkan dalam kitab 'Arba`aini' bahawa persaudaraan dalam hadith tersebut bermaksud persaudaraan insaniyyah, meliputi segenap manusia. Dengan cinta dan kasih-sayang ini, seorang Muslim sejati mampu memberikan lebih daripada apa yang seorang komunis sejati boleh.

Islam yang mengiktiraf individualisme sebagai blok-blok asas keamanan kolektif telah menjadi pengaman antara kapitalisme dan komunisme, seberjaya mana ia menjadi rekonsiliasi Judaisme (Yahudi) dan Kristian berhubung isu kemuliaan Nabi Isa a.s. Ini bertepatan dengan suatu hadith yang diriwayatkan Imam Ahmad r.a, yakni Rasulullah SAW bersabda, "Wahai umat Islam, kamulah umat wasatiyyah (penengah) untuk seluruh manusia."

P/S: Komunisme di sini saya maksudkan juga sosialisme yang sedang menjalar dalam kumpulan ('batch') baharu golongan politik di negara ini. Sekian.

No comments:

Post a Comment