20140303

Berkenaan Kefahaman Schopenhauer Tentang Cinta


Arthur Schopenhauer adalah ahli falsafah yang paling membenci dunia. ‘Kalau benar Tuhan yang menciptakan alam ini, nescaya aku tidak mahu menjadi Tuhan; kerana ianya penuh dengan dukacita dan sengsara’. Sikapnya yang pesimis terhadap dunia, termasuklah penghuni yang hidup di dalamnya menjadikannya orang yang terbiasa mengkritik, sangat objektif terhadap jiwa dan perasaan, yang akhirnya menjadi titik-tolak kepada pandangannya mengenai cinta.

Mungkin penting untuk disebutkan di sini pengalamannya berhadapan dengan cinta. Dia pernah jatuh cinta dengan Caroline Medon, seorang penyanyi berusia sembilan belas tahun, pada tahun 1821. Percintaan mereka berkekalan selama sepuluh tahun, yang akhirnya berakhir dengan perpisahan atas kehendak Schopenhauer, kerana menurutnya, ‘Untuk berkahwin bermaksud melakukan sebaik-baiknya untuk menjadi objek kepada kebencian antara satu sama lain’.

Pada umur empat puluh tiga tahun, beliau jatuh cinta dengan Flora Weiss, gadis tujuh belas tahun yang periang dan cantik. Si pesimis cuba memikatnya dengan memberikan sejambak anggur putih. Menurut Flora, ‘Kugelincirkan ke dalam air perlahan-lahan, kerana si tua bangka Schopenhauer telah menyentuhnya’. Percintaan terakhirnya adalah pada umur tujuh puluh satu bersama Elizabeth Ney, pengukir berketurunan MarĂ«chal Napoleon yang memuja falsafahnya.

Kefahaman Schopenhauer banyak dipengaruhi dan mempengaruhi semula pandangannya mengenai cinta. Cinta itu sebenarnya adalah suatu ilusi ‘will-to-life’ (Wille-zum-Leben), kehendak asas manusia untuk terus hidup dan membiak. ‘Apa yang diputuskan melaluinya adalah pembentukan generasi baharu…kewujudan konstitusi khusus manusia untuk masa-masa mendatang’. Tidak hairanlah kehidupannya pesimistik dan seperti kurang kasih-sayang.

Menurut Schopenhauer, percintaan antara dua manusia adalah secara implisitnya ditentukan oleh ‘nature’. Baginya, perkahwinan dua manusia bercinta adalah untuk menghasilkan manusia seimbang, yang mempunyai ciri fizikal yang seimbang daripada kedua-dua ibu dan bapanya. Beliau menggelarkan ini sebagai proses neutralisasi, tamsilan; jika seorang lelaki berbadan tinggi, isterinya haruslah berbadan rendah untuk menyeimbangkan keadaan tersebut.

Tambahnya lagi, percintaan tidak akan berlaku tanpa kedua-dua pasangan selesai membuat penilaian fizikal antara satu sama lain, bagi ‘will-to-life’membuat penilaian. Lelaki melihat pinggul, dada, tangan, muka; perempuan melihat dada, lengan, kaki, pinggul dan muka. Setelah dipastikan ciri-ciri si pasangan kelihatan subur dan boleh menyeimbangkan kelebihan mahupun kecacatan yang ia miliki, barulah ‘will-to-life’ menggerakkan hati untuk jatuh cinta.

Realitinya percintaan tidak berlaku semudah itu. Bagaimana mungkin Schopenhauer menjelaskan seorang lelaki sempurna sudi menikahi seorang wanita sempurna, atau seorang lelaki cacat menikahi wanita cacat yang lain? Bagaimana beliau boleh menerangkan hanya dengan mendengar suara, melihat sekilas wajah, si lelaki sudah boleh mabuk kepayang dengan cinta? Bagaimana pula dengan wanita subur yang mencintai lelaki yang tidak subur?

Michael Foley dalam ‘The Age of Absurdity’ menyebutkan, cinta itu berdiri atas tiga kaki – suka, keinginan dan penghormatan – maka saat seorang lelaki melihat isterinya sebagai tidak lebih dari sekadar kilang menghasilkan generasi yang lebih baik, kaki penghormatan akan patah, kaki kesukaan akan berderai, menyebabkan cinta musnah. Hal sebaliknya berlaku apa kita melihat cinta sebagai suatu pilihan hidup untuk bersama; kesemua kaki terpelihara.

Percintaan terjadi tanpa diduga. Terkadang kita melihat susuk tubuh gadis ini sempurna, namun perasaan cinta itu tidak hadir juga. Schopenhauer menegaskan tidak semua gadis akan menjadi ibu yang baik, ‘will-to-life’ punyai metode pencerapan dan penilaian bakal pasangan dan hanya akan memilih yang paling sesuai, bukan yang paling sempurna. Ini jelas bertentangan dengan kepercayaannya yang menyatakan percintaan menghasilkan anak yang cantik dan bijak.

Argumen kedua; bagaimana pasti ‘will-to-life’, yang ahli falsafah ini percaya sebagai dorongan utama pemilihan bakal pasangan, tidak akan menghasilkan anak yang mewarisi kecacatan ibu dan ayahnya? Kalau ayahnya bermata indah tetapi berkepala besar dan ibunya bermata hodoh tetapi berkepala cantik potongannya, bagaimana ‘will-to-life’ boleh menjamin anak yang dilahirkan tidak berkepala besar dan bermata hodoh?

Suatu hari, pernah Marilyn Monroe dan Albert Einstein menghadiri suatu majlis yang sama. Marilyn Monroe menyampaikan pesanan – melalui penghantar minuman – yang jika Albert Einstein berkahwin dengannya, anak mereka akan jadi kacak dan bijaksana. Kepada itu Einstein secara bersahaja membalas pesanan menggoda Marilyn dengan penuh rasionaliti, ‘Yang lebih kutakuti, jika kami berkahwin, anak kami akan menjadi sehodoh aku dan sebodoh dia’.

Argumen lainnya adalah, dengan mengambil kira faktor fizikal sahaja dalam pembentukan anak yang sempurna, Schopenhauer mengabaikan domain mental dan spiritual yang menjadi asas kepada pembentukan manusia sempurna. Kalaupun isteri seorang lelaki boleh memberikan ciri-ciri fenotip yang unggul, kalau cara didikannya hancur, maka anak tadi tidak akan mencapai darjah kesempurnaan manusiawi, bahkan menghampiri kemusnahan nilai terbabit.

Jikalau Schopenhauer masih mahu menerima manusia sempurna adalah pengertian dari sudut fizikal semata-mata, dengan menghindari persoalan moraliti, maka itu berlawanan dengan premis asal percintaan, iaitu untuk memastikan keberterusan kewujudan generasi manusia unggul. Saat moraliti tiada dalam pembangunan insan, sudah tentulah manusia ini dengan mudahnya merencatkan pertumbuhan umum manusia dengan pembunuhan, diktatorisme dan sebagainya.

Lebih dari sekadar deruan keinginan fisiologi-antropologi, cinta masih jadi suatu daerah yang kekal misteri. Ahli biologis tidak akan dapat menentukan si anu sesuai dengan si anu hanya dengan menilai sifat-sifat zahir kedua-duanya. Malah, biarpun mereka meneliti perjalanan sejarah hidup si lelaki dan perempuan, jaminan untuk kedua-duanya jatuh cinta satu sama lain tidak akan dapat dipastikan. Cinta hanya ‘jadi’, ‘terjadi’; ‘tidak dipilih’, ‘terpilih’.

Kita dicintai bukan kerana ciri-ciri yang kita punyai; fizikal, spiritual, emosional dan intelektual. Cinta bukan juga kerana taraf akademik, keturunan, kedudukan, kefahaman agama, bangsa dan warna kulit. Cinta tidak berpunca daripada kesesuaian yang kita letak dalam senarai semak ciri-ciri wanita idaman. Cinta hanya berlaku, seperti fenomena alam lain seperti hujan, rebut petir, angin bayu dan ombak di pantai. Saat ia berlaku, terlalu lewat untuk menyedari dan menolaknya.

Barangkali cinta itu sendiri menjadi sumber kekeliruan saat ia dipisah-pisahkan mengikut jenisnya; cinta kepada sahabat, cinta kepada anak isteri, cinta kepada kerja, cintakan hikmah dan keindahan bangsa, cintakan negara dan diri-sendiri; semua ini cinta yang berlaku tanpa sebab yang betul-betul pasti. Manusia dilahirkan untuk bercinta, dan demi mempermudahkan urusan hidup, kita menamakan cinta mengikut jenis-jenis di atas, berdasarkan ciri-ciri sepunyanya.

Berbalik kepada Schopenhauer, walaupun beliau telah membuka ruang perbincangan yang luas untuk dilawati dan dihadiri oleh semua berkenaan cinta, kita tidak boleh mengatakan beliau mempunyai autoriti untuk mengatakan definisi cintanyalah yang paling betul, sebagaimana kami tidak menganggap pengertian cinta dari sisi kami sebagai paling jitu. Kami sekadar mahu turut serta dalam polemik dan diskusi yang masih berterusan ini, demi nama cinta.

No comments:

Post a Comment